BUMIPEDA puji keprihatinan Dr Fuziah terhadap isu rakyat – Suara Keadilan

Keprihatinan ditunjukkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh terhadap isu rakyat mendapat pujian.


Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA) menerusi satu kenyataan merakamkan penghargaan sekaligus mengagumi Dr Fuziah yang peka terhadap isu yang sedang dihadapi para pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

“Kami amat berterima kasih atas kesediaan Fuziah mendengar dan memahami kepayahan yang sedang kami hadapi, khususnya dalam konteks pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar untuk RON95.

“Kesudian untuk mendengar dan mengambil maklum pandangan kami mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kebajikan pemegang taruh utama sentiasa terjaga.

“Kami amat kagum dengan sifat beliau sebagai seorang pemimpin yang begitu sensitif terhadap isu rakyat tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi negara,” kata Setiausahanya, Hanny Julia Haron.

Melalui kenyataan itu Hanny berkata, Fuziah mengambil pendekatan yang seimbang dan holistik dalam perbincangan diadakan sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini membuktikan suara kami tidak diabaikan dan dipertimbangkan dalam proses perancangan dasar yang memberi impak besar kepada operasi harian kami.

“Kami percaya bahawa melalui perbincangan dan kerjasama yang erat, kita mampu mencapai penyelesaian yang menguntungkan semua pihak, terutama sekali rakyat yang memerlukan bantuan,” tambahnya dipetik laporan media.

Beliau sementara itu berharap pihak kerajaan dapat mengadakan sesi libat urus yang lebih kerap dan menyeluruh dengan pihaknya pada masa hadapan.

“BUMIPEDA sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak KPDN dan kementerian lain demi kebaikan bersama,” tambahnya.

Dr Fuziah semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2025di Dewan Rakyat pada Rabu memaklumkan telah bertemu persatuan itu bagi berbincang mengadakan perbincangan berkaitan pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi RON95 yang dirancang bermula pertengahan tahun depan.

https://www.suarakeadilan.my/post/bumipeda-puji-keprihatinan-dr-fuziah-terhadap-isu-rakyat