
Ramai menyangka Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) diwujudkan untuk menyesuaikan harga petrol dengan pasaran dunia secara pantas dan kerap. Hakikatnya, tanggapan ini bercanggah dengan sejarah sebenar APM. Sistem ini tidak lahir daripada keinginan untuk “mengejar harga”, tetapi daripada krisis keselamatan ekonomi negara.
Sebelum awal 1980-an, pasaran hiliran petroleum Malaysia dikuasai sepenuhnya oleh syarikat minyak asing seperti Shell, Esso, Caltex, Mobil dan BP. Harga petrol, diesel dan LPG ditetapkan secara berasingan mengikut negeri, bergantung kepada kos logistik dan sasaran keuntungan masing-masing. Tiada harga nasional yang seragam. Kuasa oligopoli membolehkan syarikat minyak asing mengawal penapisan, penyimpanan, pengedaran dan peruncitan tanpa persaingan bermakna.
Keadaan ini menjadi amat rapuh apabila Perang Iran – Iraq meletus pada September 1980. Bekalan minyak mentah global merosot secara mendadak apabila terminal eksport diserang dan disekat. Harga minyak dunia melonjak daripada sekitar USD14 – 15 setong kepada hampir USD38 setong dalam tempoh singkat. Walaupun Malaysia memperoleh manfaat sebagai pengeksport minyak bersih, sektor hiliran domestik mengalami tekanan hebat akibat kenaikan kos import produk petroleum bertapis.
Dalam suasana ini, syarikat minyak asing mendesak kenaikan harga pam dengan alasan margin mereka terhakis. Sekurang-kurangnya satu syarikat minyak utama dilaporkan mengugut untuk menarik diri sepenuhnya daripada pasaran Malaysia jika harga tidak dinaikkan. Bekalan diesel dan kerosin mula dicatu kepada sektor-sektor penting. Pada tahap ini, isu bahan api tidak lagi bersifat ekonomi semata-mata ia menjadi isu kestabilan negara.
Kerajaan bertindak tegas. PETRONAS diarahkan memasuki pasaran hiliran lebih awal daripada perancangan asal, walaupun ketika itu tidak memiliki rangkaian stesen minyak atau lori tangki. Dalam tempoh yang singkat, stesen “skid tank” sementara mula beroperasi bagi memastikan bekalan runcit tidak terputus. Prinsipnya jelas: bekalan negara mesti dipertahankan, walau apa pun kosnya.
Daripada krisis inilah Mekanisme Penetapan Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism, APM) diperkenalkan pada tahun 1983. APM bukan sistem pasaran bebas. Ia ialah instrumen dasar yang diwujudkan untuk menstabilkan harga runcit, memastikan kesinambungan bekalan, dan melindungi rantaian hiliran daripada kejutan harga global. Matlamat utamanya ialah kestabilan bukan kelajuan.
Secara teknikal, APM diturunkan melalui satu formula imbangan yang mengambil kira beberapa komponen utama: harga rujukan antarabangsa produk petroleum bertapis, kadar pertukaran ringgit, kos logistik dan pengedaran domestik, cukai dan levi berkaitan, subsidi atau cukai imbangan Kerajaan, serta margin tetap rantaian hiliran termasuk komisen pengusaha stesen minyak. Yang penting, APM direka untuk mencerminkan kos purata inventori, bukan harga spot jangka pendek.
Inilah sebabnya dalam struktur asalnya, APM tidak memindahkan setiap turun naik harga antarabangsa terus ke pam. Walaupun harga penanda aras dan kadar pertukaran berubah setiap hari, hanya perubahan kos yang melepasi julat tertentu akan mencetuskan subsidi atau cukai imbangan. Mekanisme ini dikenali sebagai pelicinan harga (price smoothing) teras sebenar APM. Ia bertujuan melindungi pengguna dan pelaksana rantaian bekalan daripada kejutan harga jangka pendek.
Dalam struktur awal APM, subsidi dan cukai berfungsi sebagai penimbal sistem. Apabila kos melebihi harga kawalan, subsidi dibayar; apabila kos lebih rendah, cukai dikenakan. Tidak semua turun naik pasaran diterjemahkan kepada perubahan harga runcit. Risiko harga diserap oleh sistem, bukan dipindahkan ke pelaksana hiliran.
Namun, struktur ini mula terhakis apabila konteks berubah tanpa penjajaran semula dasar. Sejak 2017, harga runcit ditetapkan secara mingguan. Pada masa yang sama, realiti kos petroleum kekal beroperasi dalam kitaran 30 hingga 60 hari melalui kontrak, penghantaran, penapisan dan inventori. Harga menjadi semakin pantas, tetapi kos kekal perlahan. Jurang masa ini tidak diserap oleh sistem; ia dipindahkan ke peringkat paling hiliran.
Hari ini, pengusaha stesen minyak beroperasi di bawah margin tetap yang ditentukan dalam APM. Mereka tidak mengawal harga, tidak boleh melaraskan kos, dan tidak mempunyai instrumen lindung nilai. Dalam masa yang sama, pelbagai kos baharu di luar struktur asal APM termasuk caj transaksi digital dan kos perantara kewangan dikenakan tanpa sebarang pelarasan kepada margin terkawal. Akibatnya, walaupun APM kelihatan “lengkap” di atas kertas, fungsinya bocor dalam realiti.
Perlu ditegaskan bahawa struktur tiering harga dan subsidi bersasar seperti yang wujud hari ini bukan sebahagian daripada reka bentuk asal APM. Pada peringkat awal, kawalan harga adalah lebih seragam, dan subsidi bertindak sebagai penimbal makro bukan mekanisme mikro yang memutuskan hubungan antara harga runcit dan kos inventori fizikal. Anomali harga bergerak lebih laju daripada kos merupakan fenomena pasca-2017, bukan ciri asal APM.
Ironinya, APM yang dilahirkan untuk melindungi rantaian hiliran kini secara tidak sengaja memindahkan tekanan kepada pihak yang sama. Ini bukan kegagalan niat dasar, tetapi kegagalan penjajaran struktur dengan realiti semasa. Sejarah APM menunjukkan bahawa sistem ini tidak pernah bertujuan mengejar harga mingguan. Ia bertujuan memastikan kestabilan nasional melalui pengurusan risiko yang adil dan seimbang.
Memahami sejarah ini penting, kerana pembetulan hanya boleh dibuat apabila kita jujur tentang tujuan asal. Jika APM ingin kekal relevan, ia perlu kembali kepada semangat asalnya menyelaraskan harga dengan kos sebenar, bukan memindahkan risiko secara senyap. Tanpa pembetulan struktur yang berimbang, tekanan akan terus terkumpul, dan sistem yang pernah menjadi benteng kestabilan negara berisiko menjadi sumber ketidakseimbangan baharu.
Datin Hanny Julia ialah Biro Perhubungan, Koperasi BUMIPEDA Berhad (KOBB).
